Sunday, May 16, 2010

Tiada berkehendak oleh cita-cita yang tinggi

“Apabila cita-cita tinggi orang yang menuju ke hadrat Allah ingin berhenti ketika terbuka baginya sebahagian yang ghaib, ia segera diperingatkan oleh suara hakikat bahawa itu bukan tujuan dan teruskanlah berjalan ke hadapan. Demikian pula tiada kelihatan baginya keindahan alam melainkan ia diperingatkan oleh hakikatnya bahawa kami semata-mata sebagai ujian, maka janganlah tertipu hingga kamu menjadi kafir.”

Orang yang inginkan agama, orang yang inginkan Islam dan orang yang inginkan masjid akan melakukan perkara-perkara yang mendekatkan dirinya dengan Allah seperti berzikir, solat, dengar kuliah agama dan mengunjungi masjid. Minggu pertama sangat bersemangat, minggu kedua masih bersemangat dan masuk minggu yang ke empat juga masih bersemangat melakukan amalan sehinggalah pada satu hari Allah memberi nikmat kepadanya sebagai contoh pintu rezekinya dibuka dengan luas menjadikan amalannya menjadi kurang dan semakin berkurang. Ianya tidak betul kerana kita perlu beramal sehingga kita mati dan bukannya kita beramal sampai pintu nikmat dibuka!

Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kamu kufur
(Surah al-Baqarah: 102)

Jangan kita sekali-kali terpedaya dengan prestasi ibadah atau amalan kita dan berasa cukup dan telah sampai pada matlamat sedangkan amalan kita perlu diteruskan sehingga kita mati. Ini kerana semua nikmat yang diberikanNya adalah cubaan kepada kita.

Terdapat dua jenis golongan manusia apabila kita beribadah bersungguh-sungguh:
Manusia ini semakin miskin dan papa
Jika kita beribadah bersungguh-sungguh tetapi rezeki kita semakin sempit dan terus sempit. Sebenarnya itu adalah jenis dugaan yang ditimpa pada kita tetapi selalunya Allah akan memberikan kekayaan pada anaknya atau cucunya. Ini adalah disebabkan anak tadi diberikan rezeki yang HALAL. Berapa ramai kita lihat orang miskin yang mempunyai anak ramai tetapi kesemuanya berjaya sehingga belajar ke peringkat universiti. Otak manusia adalah sehala sahaja tetapi jika diberi duit yang banyak, otak manusia mula bercabang dan banyak perkara yang ingin dibuat.

Manusia ini semakin kaya dan doanya dimakbulkan
Jika kita beribadah bersungguh-sungguh dan rezeki pula makin bertambah maka kita jangan terpedaya dengan rezeki yang diberikan. Kita perlu teruskan amalan yang dilakukan malah dengan rezeki yang diberikan kita perlu banyak bersedekah dan berzakat.

No comments:

Post a Comment