Saturday, May 1, 2010

Menunda Amal Kebaikan Kerana Menantikan Kesempatan

"Kamu menunda amal kebaikan kerana menantikan kesempatan yang lebih baik merupakan tanda kebodohan yang mempengaruhi jiwa"

Kebodohan manusia yang ketara adalah cuba menunggu peluang tetapi bukannya cuba mencipta peluang. Ini yang menyebabkan manusia akan membazir masanya dan juga amalannya. Ibn 'Abbad berkata, kebodohan manusia terbahagi kepada:

1. Melebihkan dunia daripada akhirat
Melebihkan dunia daripada akhirat merupakan bukan sifat orang Islam yang berakal kerana Allah telah berfirman:
"Tetapi kamu(orang kafir) memilih kehidupan duniawi.
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal"
(Surah al-'Ala: 16-17)

Adakah anda tahu bahawa kehidupan dunia adalah sementara sahaja manakala kehidupan di akhirat akan kekal selama-lamanya. Maka kenapa kita perlu melebihkan kehidupan dunia yang sementara ini sehingga sibuk dan lupa kepada kehidupan kita di akhirat kelak sedangkan kehidupan di akhirat adalah jauh lebih baik dari dunia. Maka, bagaimana seorang yang berakal boleh memilih kehidupan yang sementara?

Ibn Mas'ud r.a bertanya pada sahabat:"Adakah kamu tahu kenapa kita melebihkan dunia drp akhirat?" Sahabat menjawab:"Tidak." Ibn Mas'ud r.a berkata:"Dunia dipertemukan terus kepada kita dengan makanan, wanita, harta, minuman dan juga kegembiraan sedangkan akhirat adalah ghaib dan tiada pada kita sekarang. Oleh yang demikian, sebab itu kita suka menangguh dan meninggalkan akhirat"

2.Menangguhkan amalan kepada masa yang lain
Perkara yang baik tidak perlu ditangguh kerana takut maut akan menjemput dahulu. Pernah Rasulullah s.a.w berkhutbah dan datang seorang sahabat ke dalam masjid. Sahabat tadi terus duduk dan Rasulullah s.a.w bertanya adakah beliau telah solat sunat tahiyatul masjid. Sahabat tadi berkata tidak, maka Rasulullah s.a.w terus menyuruh sahabat tadi bangun dan segerakan solat sunat.

3. Membazirkan masa
Jika kita melakukan amalan mengikut kesukaan kita sahaja adalah satu amalan yang membazirkan masa sedangkan kita perlu bersegera dalam melakukan amalan yang dituntut oleh Allah dan mengambil peluang sebelum MAUT datang menjemput.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang yang cerdik adalah yang sentiasa muhasabah dirinya dan membuat bekalan amalan untuk selepas mati, dan orang yang bodoh ialah yang mengikut hawa nafsu dirinya dan bercita-cita kepada Allah dengan pelbagai cita-cita tanpa usaha."

No comments:

Post a Comment