Wednesday, August 25, 2010

Kepentingan Solat

1. Solat untuk menyembah dan mengingati Allah swt

"Sungguh aku ini Allah, tidak ada tuhan selain aku dan dirikanlah solat itu semata-mata untuk mengingati Daku" (Surah Thaha: 14)


2. Tanda pengabdian dan syukur kepada Allah swt

"Sesungguhnya Kami(Allah) telah memberimu (Muhammad saw) nikmat yang banyak. Maka laksanakan solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. (sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah)" (Surah Al-Kautsar: 1-2)


3. Hikmah solat dalam menghapus dosa

"Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar" (HR Muslim)


4. Solat mencegah perbuatan keji dan mungkar

"......dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan kemungkaran" (Surah Al-Ankabuut: 45)

Perkara yang perlu dibuat pada bulan Ramadhan


  1. Umrah
  2. Zakat fitrah, Zakat Simpanan, Zakat Emas & Perak dll
  3. Sedekah
  4. Memberi makan kepada orang yang ingin berbuka puasa
  5. Membaca & memahami makna Al-Quran
  6. Mengkaji & membincang ilmu Allah
  7. Iktikaf di masjid
  8. Solat terawih & witir
  9. Qiamulail
  10. Banyakkan beristighfar
  11. Melakukan ibadah secara berjamaah
  12. Mencari Lailatul Qadar
  13. Banyakan zikir kalimah tayyibah
  14. Bersihkan hati
  15. Sambungkan silaturrahim
  16. Berbaik dengan jiran
  17. Banyakkan DOA pada Allah
  18. Menjauhkan diri daripada DOSA

Wednesday, August 18, 2010

Bernafkahlah Oleh Orang Kaya Mengikut Kelapangan

"Bernafkahlah orang yang berkemampuan mengikut kelapangannya, ia menggambarkan mereka yang telah sampai dan orang yang terbatas rezekinya iaitu orang yang sedang berjalan menuju Allah"

Seorang suami yang memberi nafkah kepada isterinya adalah tidak tetap tetapi nafkah yang diberikan adalah mengikut kemampuan suami tersebut. Semua manusia tidak sama dari segi gaji, ekonomi dan kemampuan. Ada yang mempunyai gaji yang rendah, sederhana dan tinggi. Dari segi kemampuan, bukan orang kaya sahaja boleh bersedekah tetapi orang yang tidak kaya juga boleh bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.

Terdapat dua golongan manusia:
1. mereka yang telah sampai kepada Allah swt dengan makrifah, iman & selamat drp makhluk
2. mereka yang sedang berjalan dan terbatas rezeki kefahaman ilmu & dihalang utk sampai

Orang yang telah sampai bermaksud orang yang faham agama manakala orang yang perlu bantuan untuk sampai bermaksud orang yang baru ingin belajar. Dalam ibadah, kita perlu tahu ilmu dan juga perlu ada penghayatan atau buat apa yang telah kita pelajari.

Thursday, August 12, 2010

Perbezaan yang ketara bagi sesiapa yang mengenal makhluk

Syeikh Ibn 'Ajibah berkata: Sebesar-besar sesuatu yang disimpan dalam ghaib(rahsia) ialah mengenali Allah SWT dan ianya terbahagi kepada 2:
  1. Mengenali Allah melalui pembuktian
  2. Mengenali Allah melalui penglihatan

Isu yang paling penting dalam hidup kita adalah isu mengenal Allah SWT. Ada orang yang kenal Allah melalui makhluk sbg contoh: kita melihat alam sekitar dan pada alam sekitar itu baru wujudnya Allah. Kita lihat kehebatan dan kekuatan harimau, pada masa itu barulah kita yakin wujudnya Allah

Orang yang hebat adalah orang yang kenal Allah kemudian baru makhluk iaitu orang yang hebat ini tidak perlu melihat makhluk atau alam sekitar untuk tahu kewujudan Allah kerana golongan ini telah begitu yakin bahawa Allah itu memang wujud. Contoh keyakinan yang hebat: ada orang luar mengatakan anak anda bukanlah anak anda yang sebenarnya tetapi anak orang lain. Pastinya anda tidak mempercayai kata2nya kerana anda yakin yang anak itu adalah anak dari darah daging anda sendiri kerana kulit, muka, rambut dan perangainya mmg ikut perangai anda! Disebabkan terlampau yakin yang anak itu anak anda, maka anda tidak hiraukan kata2 orang luar tersebut TETAPI jika anda tidak yakin barulah anda mencari bukti tentang kewujudan anak anda..... Sama ada menggunakan DNA dan mcm2 lagi......

Amalan membawa manusia ke darjat yang lebih tinggi

  1. Banyak bersedekah
  2. Sentiasa membaca al-Quran
  3. Bersama dengan orang yang mengingati akhirat
  4. Menghubungkan silaturahim
  5. Menziarahi orang yang sakit
  6. Sedikit bergaul dengan orang kaya yang lupa akhirat
  7. Banyak berfikir tentang kesudahannya
  8. Diam dan sedikit berbicara
  9. Tawaduk

Friday, August 6, 2010

Apa-apa yang disimpan dalam alam ghaib


"Bercahaya pada permulaan akan membawa kepada bercahaya pada akhirnya, ia merupakan perkara-perkara batin sama seperti bergantung kepada Allah SWT, cinta dan rindu kepadaNya. Tetapi ia mesti ada penzahirannya yang dapat dikesan"

Pada suatu hari Rasulullah saw peri ke masjid dan melihat ada orang sedang solat sambil memegang janggutnya tanpa henti. Maka sebenarnya orang yang tengah solat tadi hatinya tidak khusyuk kerana anggota badannya tidak khusyuk. Apa-apa yang disimpan dalam ghaib segala rahsia nescaya akan zahir pada anggota zahir(luar).

Apa yang kita lakukan sebenarnya adalah datang dari hati. Ini bermakna hati akan ditonjolkan dalam bentuk perbuatan. Hati terbahagi kepada dua:
i. zahir-hati yang nampak dalam tubuh badan manusia
ii. batin- yang tidak nampak oleh manusia yg mana baik-buruk perlakuan kita bergantung pada hati.

Kebaikan tidak boleh berpura-pura kerana lambat laun ianya akan terbongkar juga. Jika seseorang itu mempunyai hati yang kotor dan dia melakukan kerja kebaikan maka kerja yang dilakukan tidak akan bertahan lama dan akan terbongkar akhirnya dan raut wajahnya juga menunjukkan kepuraan semata-mata.

Dua perkara yang tidak akan berlaku pada orang MUNAFIK adalah jiwanya tenang dan faham agama. Ini kerana orang munafik tidak dapat hidayah dr Allah maka hidupnya tidak stabil dan tidak akan tenteram.

"Dan apabila hanya nama Allah saja yang disebut, kesallah hati orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat; dan apabila nama sembahan-sembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka bergembira hati"
(Surah al-Zumar:45)

Sunday, July 11, 2010

Antara ALAMAT atau TANDA kejayaan

"Antara alamat atau tanda kejayaan sesuatu pada akhirnya adalah dengan kembali kepada ALLAH pada permulaannya"

Ramai di antara kita yang ingin menjadi lebih baik tetapi banyak berdalih dan menyalahkan Qada & Qadar Allah. Jika ingin berjaya , maka kita perlu betulkan niat yang baik pada awalnya. Ini kerana niat yang baik atau perkara yang awal baik menjadi asas yang kukuh, hebat dan baik tetapi dari awalnya tidak elok maka akhirnya akan menjadi buruk juga.

Jika sesuatu perkara yang ingin dilakukan dengan dimulakan perkara yang baik, maka orang lain akan melihat kita melakukan perkara baik. Apabila orang memperkatakan sesuatu yang baik tentang kita, ianya ibarat seperti DOA untuk kita.

Selain daripada itu, sifat baik yang kita lakukan ini menjadi sebagai penghalang atau benteng dari membuat perkara jahat dan maksiat. Seterusnya ianya akan menjarakkan kita dengan orang yang tidak baik.

Syeikh al-Nahjuri berkata:"Sesiapa yang kenyangnya dengan makanan, dia sentiasa berada dalam kelaparan. Siapa yang kayanya dengan harta, dia sentiasa berada dalam keadaan fakir. Siapa yang memohon hajat selain daripada ALLAH dia sentiasa dihalang dan siapa yang minta dlm urusannya selain ALLAH, dia sentiasa dlm keadaan hina"

Saturday, June 26, 2010

Tidak berkehendak sesuatu permintaan

"Segala kesibukan dan selainnya boleh hilang dengan cara kembali memohon kepada Allah SWT tetapi sebaliknya ia semakin sukar disebabkan kuatnya berpaling kepada nafsu & jiwa"

Bab kali ini adalah berkisar dengan hajat atau permintaan kita. Ada hajatnya bergantung kepada makhluk dan ada hajatnya bergantung kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa apabila hajat kita bergantung pada Allah SWT ianya amat mudah dan Insya Allah hajat kita akan diperkenankan tetapi apabila hajat kita bergantung pada makhluk ianya amat susah dan orang yang kita bergantung pun meluat dengan kita.

Kita meminta dan memohon pada Allah SWT bermaksud kita ingin permudahkan segala urusan dengan bersandar kepada-Nya. Tanda-tanda kita bersandar kepada-Nya adalah:
1. Berserah pada kehendak
2. Tawakal pada semua urusan
3. Istiqamah

Tanda-tanda kita tidak bersandar kepada-Nya tetapi bergantung pada diri adalah:
1. Melakukan sesuatu mengikut kehendak hati
2. Bergantung kpd sebab tanpa bertawakal pada Allah SWT
3. Lemah dalam istiqamah

Kita seharusnya bertawakal seperti seekor burung. Pada waktu pagi burung berasa lapar tetapi apabila waktu petang burung akan kekenyangan. Burung tidak pernah menyimpan makanan tetapi mencari makanan setiap hari dengan terbang merata-rata dan tidak pernah cuti. Jika cuti bermakna kelaparanlah burung tersebut. Oleh yang demikian kita perlu berusaha dan bertawakal untuk mencari rezeki. Firman Allah SWT:

"Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah cukuplah baginya"
(Surah al-Talaq:3)

Sunday, June 6, 2010

Janganlah Menanti Masa Lapang utk Beribadat

"Janganlah menanti masa lapang untuk beribadah. Hal ini akan memutuskanmu daripada kewajipan menunaikan hak terhadap apa-apa yang Allah tetapkanmu di dalamnya(dlm masa lapang itu)"

Sikap sebenar orang ISLAM adalah tidak bertangguh tetapi berlumba-lumba dalam beribadah dan melakukan kebajikan. Ada juga di antara kita yang ingin melakukan ibadah atau amal kebajikan tetapi bertangguh dengan memberi banyak alasan sebagai contoh tunggu waktu pencen, tunggu lepas kerja dan banyak lagi alasan. Selalunya amal kebajikan dan ibadah yang ingin dilakukan tidak akan menjadi kerana BERTANGGUH dan ini merupakan satu BALA yang besar pada kita.

Orang yang HEBAT adalah orang yang menggunakan masa yan maksimum untuk beribadah dan taat pada ALLAH. Mereka yang mencari kelapangan adalah mustahil kerana dunia itu sendiri penuh dengan kesibukan dan pemikiran. Firman ALLAH SWT:

"Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak drp jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia; dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik(syurga)"
(Surah Ali Imran:14)

Friday, June 4, 2010

Nafas yang kamu Zahirkan ada ketentuan

"Secara keseluruhannya, semua tuntutan adalah berpenyakit (mempunyai kerana atau sebab) kecuali secara 'ubudiyyah dan mendirikan haq rububiyyah. Hal ini adalah kerana Allah SWT itu lebih dekat kepada hamba drp urat lehernya. Justeru, tiada ruang bagi memohon."


Bab kali ini menceritakan takdir tuhan iaitu Qada dan Qadar. Kita boleh mengubah Qada dan Qadar dengan cara berDOA. Jika perkara yang buruk menimpa kita, maka kita perlu berSABAR manakala jika nikmat yang kita terima, maka kita perlu berSYUKUR. Itulah yang dilakukan oleh orang yang beriman seterusnya Allah akan redha atas kita.

Kita perlu REDHA pada yang berlaku setelah kita berusaha kerana kita perlukan REDHA Allah. Allah boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya dan bukannya mengikut apa yang kita kehendaki. Justeru Allah SWT boleh mengangkat siapa yang dikehendaki dan menjatuhkan siapa yang dikehendakiNya, menyembuh penyakit dan menyebabkan sakit orang yang sihat, memuliakan orang yang hina dan menghinakan yang mulia, memiskin yang kaya dan mengkayakan yang fakir.

Sunday, May 16, 2010

Tiada berkehendak oleh cita-cita yang tinggi

“Apabila cita-cita tinggi orang yang menuju ke hadrat Allah ingin berhenti ketika terbuka baginya sebahagian yang ghaib, ia segera diperingatkan oleh suara hakikat bahawa itu bukan tujuan dan teruskanlah berjalan ke hadapan. Demikian pula tiada kelihatan baginya keindahan alam melainkan ia diperingatkan oleh hakikatnya bahawa kami semata-mata sebagai ujian, maka janganlah tertipu hingga kamu menjadi kafir.”

Orang yang inginkan agama, orang yang inginkan Islam dan orang yang inginkan masjid akan melakukan perkara-perkara yang mendekatkan dirinya dengan Allah seperti berzikir, solat, dengar kuliah agama dan mengunjungi masjid. Minggu pertama sangat bersemangat, minggu kedua masih bersemangat dan masuk minggu yang ke empat juga masih bersemangat melakukan amalan sehinggalah pada satu hari Allah memberi nikmat kepadanya sebagai contoh pintu rezekinya dibuka dengan luas menjadikan amalannya menjadi kurang dan semakin berkurang. Ianya tidak betul kerana kita perlu beramal sehingga kita mati dan bukannya kita beramal sampai pintu nikmat dibuka!

Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kamu kufur
(Surah al-Baqarah: 102)

Jangan kita sekali-kali terpedaya dengan prestasi ibadah atau amalan kita dan berasa cukup dan telah sampai pada matlamat sedangkan amalan kita perlu diteruskan sehingga kita mati. Ini kerana semua nikmat yang diberikanNya adalah cubaan kepada kita.

Terdapat dua jenis golongan manusia apabila kita beribadah bersungguh-sungguh:
Manusia ini semakin miskin dan papa
Jika kita beribadah bersungguh-sungguh tetapi rezeki kita semakin sempit dan terus sempit. Sebenarnya itu adalah jenis dugaan yang ditimpa pada kita tetapi selalunya Allah akan memberikan kekayaan pada anaknya atau cucunya. Ini adalah disebabkan anak tadi diberikan rezeki yang HALAL. Berapa ramai kita lihat orang miskin yang mempunyai anak ramai tetapi kesemuanya berjaya sehingga belajar ke peringkat universiti. Otak manusia adalah sehala sahaja tetapi jika diberi duit yang banyak, otak manusia mula bercabang dan banyak perkara yang ingin dibuat.

Manusia ini semakin kaya dan doanya dimakbulkan
Jika kita beribadah bersungguh-sungguh dan rezeki pula makin bertambah maka kita jangan terpedaya dengan rezeki yang diberikan. Kita perlu teruskan amalan yang dilakukan malah dengan rezeki yang diberikan kita perlu banyak bersedekah dan berzakat.

Friday, May 14, 2010

Jangan kamu MEMINTA ALLAH SWT mengeluarkan kamu

"Janganlah kamu minta Allah mengeluarkan kamu daripada sesuatu keadaan agar Dia mempergunakan kamu dalam keadaan sebaliknya, kalau Allah hendakkan kamu sudah tentu Dia mempergunakanmu tanpa dikeluarkan daripada keadaan itu"

Orang yang mengejar dunia sentiasa berdoa untuk menjadi kaya sedangkan pada waktu susah dia adalah seorang yang kaki masjid dan selalu solat berjamaah di masjid tetapi apabila dia telah menjadi kaya, langsung tak nampak muka kat masjid. Bukan lagi jadi kaki masjid tetapi dah jadi kaki wayang! Manusia yang HEBAT adalah orang itu tidak menjadikan DUNIA sebagai penghalang untuk ke akhirat.

Untuk pengetahuan, harta bukanlah membuatkan seseorang itu susah dan senang tetapi HATI yang tenang yang menjadi faktornya. Mengapa masih ramai orang kaya masih susah hati dan risau sedangkan harta kekayaan yang dia ada sudah terlebih cukup! Bagaimana untuk menjadikan HATI kita tenang? Iaitu dengan mendapat Hidayah Allah.

Orang yang mengejar akhirat sentiasa berdoa untuk menjadi orang alim. Sebenarnya kita tak perlu menjadi sesiapa atau dengan kata lain kita tak perlu jadi idola kita tetapi jadi diri sendiri kerana Islam hargai watak masing-masing. Apa yang penting sebenarnya adalah menjadi sebagai ISLAM bukan jadi orang lain. Jika kita lihat sahabat rasulullah saw pun amat berbeza: Abu Bakar, Umar, Uthman & Ali.....kesemua sahabat ini mempunyai watak yang berbeza. Apa yang penting sekarang adalah kita perlu tumpukan apa yang kita buat sekarang sehingga kita berjaya dalam bidang masing-masing.
Contoh:
Jika kita seorang penyelidik kita perlu tumpu dengan bidang kita sehingga kita menjadi pakar dan menjadi rujukan pada penyelidik-penyelidik bukan Islam seluruh dunia. Sama juga kalau kita menjadi petani yang menanam ubi kayu, kita perlu bekerja bersungguh2 sehingga menjadi seorang yang pakar dalam bidang kita. Kalau orang cerita pasal ubi kayu, kita boleh terangkan dari A to Z....... seterusnya kita akan jadi rujukan pada petani yang lain.

Saturday, May 1, 2010

Menunda Amal Kebaikan Kerana Menantikan Kesempatan

"Kamu menunda amal kebaikan kerana menantikan kesempatan yang lebih baik merupakan tanda kebodohan yang mempengaruhi jiwa"

Kebodohan manusia yang ketara adalah cuba menunggu peluang tetapi bukannya cuba mencipta peluang. Ini yang menyebabkan manusia akan membazir masanya dan juga amalannya. Ibn 'Abbad berkata, kebodohan manusia terbahagi kepada:

1. Melebihkan dunia daripada akhirat
Melebihkan dunia daripada akhirat merupakan bukan sifat orang Islam yang berakal kerana Allah telah berfirman:
"Tetapi kamu(orang kafir) memilih kehidupan duniawi.
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal"
(Surah al-'Ala: 16-17)

Adakah anda tahu bahawa kehidupan dunia adalah sementara sahaja manakala kehidupan di akhirat akan kekal selama-lamanya. Maka kenapa kita perlu melebihkan kehidupan dunia yang sementara ini sehingga sibuk dan lupa kepada kehidupan kita di akhirat kelak sedangkan kehidupan di akhirat adalah jauh lebih baik dari dunia. Maka, bagaimana seorang yang berakal boleh memilih kehidupan yang sementara?

Ibn Mas'ud r.a bertanya pada sahabat:"Adakah kamu tahu kenapa kita melebihkan dunia drp akhirat?" Sahabat menjawab:"Tidak." Ibn Mas'ud r.a berkata:"Dunia dipertemukan terus kepada kita dengan makanan, wanita, harta, minuman dan juga kegembiraan sedangkan akhirat adalah ghaib dan tiada pada kita sekarang. Oleh yang demikian, sebab itu kita suka menangguh dan meninggalkan akhirat"

2.Menangguhkan amalan kepada masa yang lain
Perkara yang baik tidak perlu ditangguh kerana takut maut akan menjemput dahulu. Pernah Rasulullah s.a.w berkhutbah dan datang seorang sahabat ke dalam masjid. Sahabat tadi terus duduk dan Rasulullah s.a.w bertanya adakah beliau telah solat sunat tahiyatul masjid. Sahabat tadi berkata tidak, maka Rasulullah s.a.w terus menyuruh sahabat tadi bangun dan segerakan solat sunat.

3. Membazirkan masa
Jika kita melakukan amalan mengikut kesukaan kita sahaja adalah satu amalan yang membazirkan masa sedangkan kita perlu bersegera dalam melakukan amalan yang dituntut oleh Allah dan mengambil peluang sebelum MAUT datang menjemput.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang yang cerdik adalah yang sentiasa muhasabah dirinya dan membuat bekalan amalan untuk selepas mati, dan orang yang bodoh ialah yang mengikut hawa nafsu dirinya dan bercita-cita kepada Allah dengan pelbagai cita-cita tanpa usaha."

Sunday, April 25, 2010

Mengatasi Masalah Anak-Anak Yang Nakal, Degil Dan Suka Melawan Cakap Ibu Bapa

Ikhtiar yang sangat mujarab bagi mengatasi anak-anak yang suka melawan ibu-bapa ialah dengan minum dan mandikan anak-anak ini dengan air tadahan lebihan wuduk ibu-bapa. Caranya seperti berikut;

1. Ibu dan bapa terlebih dahulu membersihkan semua anggota wuduk dengan sabun. Anggota-anggota wuduk ini termasuk yang rukun dan sunat iaitu mulut, hidung, muka, kedua tangan, kepala, kedua-dua telinga dan kaki hingga buku lali.

2. Setelah dibersihkan anggota-anggota wuduk tersebut, gunakan air biasa minuman atau air mineral untuk mengambil wuduk.

3. Cara yang mudah, duduk di atas kerusi dan letakkan baldi di bahagian antara kedua belah kaki. Biar isteri tolong menuangkan air untuk mengambil wuduk.

4. Membasuh semua anggota wuduk tiga kali. Mulakan dengan membaca bismillah. Basuh kedua belah tapak tangan diikuti dengan berkumur-kumur, membersihkan hidung. Pastikan air yang telah digunakan untuk membasuh tapak tangan dan berkumur-kumur masuk ke dalam baldi.
5. Berniat mengambil wuduk diikuti membasuh muka, seterusnya membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh telinga dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki hingga ke buku lali.

6. Setelah suami selesai, isteri pula mengambil wuduk dengan cara yang sama manakala suami pula yang membantu menuangkan air.

7. Setelah selesai, air lebihan wuduk yang terkumpul di dalam baldi tersebut dicampurkan dengan air biasa.

8. Beri minum air tersebut kepada Mandikan anak-anak yang bermasalah dengan air tersebut. Insya’Allah dia akan menjadi anak yang patuh kepada kedua ibu-bapanya.

Sunday, April 18, 2010

Bagaimana mungkin dibayangkan bahawa Allah SWT dapat dihijab

"Bagaimana mungkin dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, padahal Dialah yang menzahirkan (menampakkan) segala-galanya? Bagaimana mungkin dihijab oleh sesuatu, padahal Dialah yang tampak nyata bersama segala-galanya? Bagaimana mungkin dihijab oleh sesuatu padahal Dialah yang terlihat pada setiap sesuatu? Bagaimana akan dapat ditutupi oleh sesuatu, padahal Dialah yang tersedia nyata bagi sesuatu? Bagaimana mungkin dihijab oleh sesuatu, padahal Dialah yang lebih nyata (tampak) sebelum wujud setiap sesuatu? Bagaimana mungkin dihijab oleh sesuatu, padahal Dialah yang Maha Esa yang tiada sesuatu pun di samping Nya? Bagaimana mungkin dihijab oleh sesuatu, padahal Dialah lebih dekat kepadamu drp segala-galanya? Bagaimana mungkin dihijab oleh sesuatu, padahal tanpa Nya nescaya tidak akan wujud segala-galanya? Alangkah ajaibnya, bagaimana tampak wujud di dalam 'adam(tiada). Atau bagaimana thabit sesuatu yang baharu, di samping zat yang bersifat qidam(sedia ada). IMAM IBN 'ATAILLAH

Mengapa kali ini diberi banyak persoalan dan tidak diberi jawapan berkenaan dengan "Bagaimana mungkin dibayangkan bahawa Allah SWT dapat dihijab". Sebenarnya soalan yang diberikan boleh menunjukan untuk mengiyakan sesuatu dan juga mengambil perhatian orang. Manusia sebenarnya akan mudah menerima sesuatu jika dia dapat melihat tetapi jika manusia tidak dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri maka agak sukar bg manusia menerimanya. Ini adalah kerana manusia dipengaruhi oleh nafsu, unsur-unsur yang tidak baik dan juga manusia itu sendiri lemah. Kita semua tahu bahawa Allah itu wujud tetapi kita tidak dapat melihat Nya. Situasi ini yang mengundang permasalahan hidup manusia. Kita perlu rasa wujudnya Allah dan juga kita perlu rasa yang Allah selalu nampak kita. Oleh yang demikian kita memerlukan ilmu untuk kita rasakan kewujudan Allah. Ibaratnya: kita nampak seorang lelaki biasa yang tidak kenali. Pada waktu itu, kita akan rasa biasa sahaja tetapi jika ada org beritahu kita bahawa lelaki tersebut sebenarnya adalah Raja, pada waktu itu baru kita rasa kagum. Jika sebaliknya ada orang beritahu kita yang lelaki tadi adalah perompak, pada waktu itu kita rasakan lelaki itu memang tidak berguna.

Kami akan memperlihatkan mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa al-Quran itu adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu? (Surah Fussilat:53)

Daripada ayat di atas yang mana segenap ufuk bermaksud di langit dan di bumi termasuk matahari, bulan, bintang, pohon kayu dan semua keajaiban alam. Perbuatan Allah swt adalah sangat sempurna manakala perbuatan manusia terlampau banyak cacat celanya. Kita ambil satu contoh perbuatan Allah swt adalah matahari yang mana matahari tidak pernah beralih drp pada paksinya dan jika matahari beralih drp paksinya, anda semua pasti tahu apa kesannya pada kehidupan di bumi ini. Perbuatan manusia pula perlukan pengawasan sebab itulah ditubuhkan pasukan polis, SPRM, JPJ dll

Friday, April 9, 2010

Antara yang menunjukkan kewujudan ALLAH

Tajuk kali ini adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya seperti kenyataan Ustaz Dr Zulkifli: "Antara yang menunjukkan kewujudan Allah yang Maha Perkasa kepadamu ialah Dia menutup penglihatanmu kepada-Nya dengan sesuatu yang tidak wujud bersama-Nya"

Manusia boleh melihat benda-benda yang mempunyai bentuk fizikal dengan menggunakan mata. Walaubagaimanapun mata manusia tidak boleh nampak ALLAH tetapi ALLAH boleh melihat mata manusia. Begitulah Maha Hebatnya ALLAH.....Tanda kekuasan Allah adalah dalam bentuk penciptaan makluk. Setelah Allah mencipta makhluk, Allah juga mencipta keperluan kehidupan makhluk spt akal fikiran.

Ramai orang mengejar dan ingin masuk ke syurga dan menyangka bahawa syurga adalah nikmat terbesar. Adakah anda tahu bahawa nikmat yang terbesar adalah manusia dapat bertemu dengan penciptanya yakni ALLAH SWT.

Abu Hasa al-Syazili berkata:"Sesungguhnya kami melihat kepada Allah SWT dengan penglihatan iman dan yakin. Justeru, kami tidak memerlukan sebarang dalil dan bukti"

Jika manusia ingin meningkatkan iman dan yakin dengan kewujudan Allah SWT adalah melalui ilmu. Bagi mendapatkan ilmu adalah dengan belajar atau menuntut dengan mencari dalil-dalil dan bukti-bukti kewujudan Allah SWT. Dalil-dalil dan bukti-bukti kewujudan Allah SWT yang akan memberi kesan dalam hati manusia.

Sunday, April 4, 2010

Kata-kata hikmah

Kita bersyukur bukannya sebab kita masih hidup, lembu & kambing pun hidup jugak.....
Kita bersyukur bukannya sebab kita dapat ilmu, orang kafir pun dapat ilmu jugak.....
Kita bersyukur kepada ALLAH kerana Dia telah menganugerahkan IMAN & ISLAM.....

Friday, April 2, 2010

Alam semuanya GELAP

"Alam semuanya gelap dan sesungguhnya yang menerangkannya ialah kebenaran ALLAH yang Haq padanya. Maka sesiapa yang melihat alam tetapi tidak dapat menyaksikan-Nya padanya atau di sisinya atau sebelumnya atau selepasnya, maka sesungguhnya tertutup mata hatinya daripadanya dan cahaya matahari makrifah terlindung daripadanya oleh awan (kabus) kezaliman kesan-kesan makhluk"

Alam ini sebenarnya bermula dengan gelap gelita, kosong dan tiada. Allah yang mencipta alam ini. Daripada kata-kata di atas tadi, apabila kita masuk bilik yang gelap kita takkan nampak apa-apa tetapi jika kita ON suis lampu barulah kita nampak kedudukan meja, kerusi dan alat perabot yang ada dalam bilik itu. Oleh yang demikian kita meLIHAT dari 2 aspek iaitu aspek fizikal dan aspek rohani.

Manusia boleh kita bahagikan kepada tiga golongan:
1. Melihat Pencipta Sebelum Melihat Alam - Hati yang menyaksikan bahawa kehendaknya tidak berlaku kecuali dengan iradat al-Haq dan kudratNya

2. Melihat Pencipta Ketika Melihat Alam

3. Melihat Pencipta Selepas Melihat Alam - Hatinya lalai daripada perlaksanaan segala hukum hingga berlaku perkara yang dikehendakinya barulah teringatkan kurniaan Allah swt tidak melihat pencipta pada semua keadaan

Contoh yang akan kita ambil adalah unta:
Golongan 1
Golongan ini akan nampak kehebatan ALLAH dulu sebelum melihat unta sebabnya golongan ini tahu banyak kelebihan unta tapi apa golongan ini lebih terpegun pada Pencipta unta itu berbanding unta tersebut. Contoh lain, kita tak pernah tengok KLCC kemudian ada orang kata KLCC nie hebat, tinggi, cantik dll tetapi golongan 1 ini bukannya nak lihat KLCC tue tapi terpegun dan ingin berjumpa pada arkitek yang buat KLCC tue......

Golongan 2
Golongan ini akan menyelidik secara dalam lagi pasal unta nie misalannya bagaimana unta boleh tahan selama 8 hari jika tidak minum, bulu mata unta yang lentik menyebabkan pasir susah nak masuk mata, bibir unta yang tebal supaya unta boleh makan tumbuh-tumbuhan yang berduri di padang pasir. Selepas lihat kelebihan unta nie baru nampak KEHEBATAN ALLAH.......

Golongan 3
Hanya nampak unta sebagai kapal di padang pasir sahaja dan unta nie sebagai kurniaan Allah kepada manusia

Maka anda tanya diri sendiri, anda dari golongan mana?

Tuesday, March 30, 2010

Kaedah Bangun Malam(Beribadah)

"Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) Segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha mendalam pengetahuanNya"
(Al-An'am:103)
Kaedah bagaimana untuk bangun malam mengikut masa yang kita kehendaki:

  1. Ambil wudhuk sebelum tidur
  2. Baca Fatihah, Ayat Kursi, 3Qul
  3. Baca ayat di atas
  4. Niat dalam hati supaya bangun tidur pukul......

Insya Allah, Allah akan permudahkan kita untuk bangun pagi mengikut masa yang kita kehendaki dan Insya Allah, Allah akan melindungi kita drp gangguan syaitan dan jin ketika tidur. Jika kita sudah terjaga, terus kita bangun.....Jika tidak BURUK padahnya.... sampai ke subuh ler jawabnya.....

Amalan solat sunat yang digalakan pada waktu malam adalah:

  1. Solat Sunat Taubat
  2. Solat Sunat Tasbih
  3. Solat Sunat Tahajud
  4. Solat Sunat Hajat
  5. Solat Sunat Witir

Cuba kita bangun setiap jam 5pagi atau sekarang disebabkan subuh dah lewat, cuba paksa diri bangun 515pagi dan solat sunat jam 530pagi. 15minit lagi tue mandi ler, jgn nak lepak2 pulak....mmg sampai subuh baru terjaga! Pastu solat sunat: Solat Taubat + Tahajud + Witir..... Cuba Istiqomah dan bila dah rasa OK jer bangun awal sikit dan tambah solat sunat hajat dan kalau larat lagi solat sunat tasbih.....

Semoga kaedah ini membolehkan kita semua dapat beribadat pada waktu malam dan mensyukuri nikmatNya yang telah banyak kita terima.

Friday, March 26, 2010

Bagaimana Mungkin Hati Bercahaya

Salam semua, kita bersambung dengan huraian kitab Syarah Al-Hikam (Jilid 1) dengan tajuk Bagaimana Mungkin Hati Bercahaya. Kita mulakan dulu dengan kata alim ulama iaitu Sahl bin Abdillah

"Segala kebaikan terhimpun pada empat cabang: Mengosongkan perut(berpuasa), diam, Khalwat(bersunyian seorang diri) dan beribadah di waktu malam"

Menghimpunkan dua perkara yang bertentangan atau berlawanan adalah MUSTAHIL ianya seperti air dan minyak. Syeikh Ibn 'Ataillah melahirkan rasa hairan terhadap dua keadaan yang berlawanan.

"Bagaimanakah akan terang hati seorang yang segala gambaran dunia ini terpahat dalam cermin hatinya. Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah, padahal dia masih terbelenggu oleh nafsu syahwatnya. Atau bagaimanakah akan dapat masuk ke hadrat Allah padahal dia belum bersih(suci) daripada kekotoran kelalaiannya. Atau bagaimanakah dia berharap akan memahami segala isi rahsia, padahal dia belum bertaubat daripada segala kekeliruannya."

Huraian:
Bagaimanakah akan terang hati seorang yang segala gambaran dunia ini terpahat dalam cermin hatinya
Apabila satu bekas diletakkan satu benda, maka bekas tersebut perlu dibasuh dahulu kemudian baru benda lain supaya ianya tidak bercampur. Ibaratnya seperti air kopi di dalam cawan, kemudian kita nak minum air susu. Maka kita perlu basuh cawan tue dulu, kemudian baru masukan susu. Jika tidak air susu akan bercampur dgn sisa air kopi tadi menyebabkan warna air susu berubah. Oleh yang demikian, bagaimana hati ingin bercahaya jika hati penuh dengan kotoran? Maka kita perlu bersihkan hati kita.

Bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah, padahal dia masih terbelenggu oleh nafsu syahwatnya
Jika kita nak menuju kepada ALLAH kita perlu tinggalkan nafsu syahwat. Nafsu syahwat perlu ditinggalkan kerana nafsu syahwat inginkan apa yang nafsu inginkan.

Bagaimanakah akan dapat masuk ke hadrat Allah padahal dia belum bersih(suci) daripada kekotoran kelalaiannya
Kekotoran kelalaian adalah kelalaian ketika dalam ibadah ianya menyebabkan kita tidak khusyuk atau tidak tumpu pada solat. Jika perkara yang tidak taat, kelalaian tidak wujud. LALAI adalah penyakit segala bentuk maksiat dan bagaimana untuk menghilangkan lalai? ZIKIR......caranya hanyalah berzikir. Rujuk laman ini utk mengetahui kalimah yang disukai ALLAH: http://pintalan.blogspot.com/2010/03/kalimah-yang-disukai-allah-swt.html

Bagaimanakah dia berharap akan memahami segala isi rahsia, padahal dia belum bertaubat daripada segala kekeliruannya."
Kita tak akan faham rahsia Allah jika kita belum bertaubat. Maka kita akan faham rahsia Allah sekiranya kita menjaga hubungan kita dengan Allah iaitu Rahsia Allah berkadar terus dgn hubungan kita dengan Allah iaitu dengan cara berTAUBAT

Kesimpulan:
1. Kita perlu menjaga hati supaya bersih
2. Jangan ikut nafsu syahwat tapi ikut iman
3. Cuba sedaya upaya perbanyakan zikir
4. Perlu sentiasa bertaubat

Saturday, March 20, 2010

Hati tidak dapat manfaat daripada sesuatu seperti KHALWAT(uzlah)

"Hati tidak mendapat manfaat daripada sesuatu seperti uzlah yang
memasuki medan fikrah dengannya"

Salam semua, kuliah minggu nie berkenaan dengan BERKHALWAT atau UZLAH iaitu yang melibatkan hati. Hati adalah tempat menerima sesuatu samada diisi dengan perkara baik, buruk, mudarat dll. Hati juga tempat menjadi rebutan pada syaitan dan malaikat ianya termasuk dengan godaan nafsu dan syaitan yang kuat jika kita menghala ke arah kejahatan. Cara utk melepaskan diri drp godaan nafsu adalah berUZLAH.

UZLAH: Perjalanan hati kepada kudrat Tuhan atau bersendiriannya hati dengan Allah SWT. Atau dengan bahasa lebih mudah adalah kita duduk bersendirian dengan mendekatkan diri kita dengan Allah SWT melalui zikir, mengenangkan dosa yg telah lalu dll.

Kesan berUZLAH adalah dapat menggerakkan akal fikiran kita. UZLAH tidak boleh dilakukan sepanjang masa jika kita sering berUZLAH bagaimana untuk kita berjihad ke jalan Allah dan bagaimana kita ingin mengembangkan ajaran Allah SWT. Ibn 'Ataillah memberi makna UZLAH adalah hati tidak mendapat sedikit drp uzlah dan bukannya berterusan. Atau dengan kata lain kita tidak menjadikan uzlah sebagai sistem kehidupan dgn menjauhkan diri drp masyarakat, bersembunyi atau bertapa di gua.
"Tidak ada pertapaan dalam Islam"
(Ibn Abi Syaibah)

Matlamat kita sebenar bukannya UZLAH tetapi uzlah adalah sbg jalan untuk mengkaji dan berfikir. Ibaratnya seperti jika kita sakit atau demam, matlamat kita bukannya utk berjumpa doktor tapi jumpa doktor adalah jalan untuk mencapai matlamat kita(iaitu sembuh dr demam).

Faedah UZLAH
1. Selamat drp keburukan lidah
2. Terpelihara mata
3. Terpelihara hati
4. Menghasilkan zuhud
5. Mempunyai ruang utk beribadah
6. Merehatkan hati dan badan

"Sesiapa yang inginkan kemuliaan akhirat maka perbanyakan berfikir"
(Ka'ab)

Orang yang cerdik mengambil peluang yang diberikan manakala orang kurang cerdik kagum dengan peluang yang ada. Ibaratnya ada seorang raja yang memberi peluang kepada rakyatnya untuk meminta apa sahaja di istana dan pasti ia akan tunaikan. Maka orang kurang cerdik akan mengambil meja yg mahal, TV, kerusi dan pelbagai barang lagi tetapi ada seorg wanita yg cerdik, dia hanya inginkan raja shj!!!. Maka raja perkenankan, apabila wanita tadi menjadi permaisuri semua barang2 yg dlm istana adalah miliknya..... Apa kaitannya dengan amalan kita seharian? Kita sibuk melakukan kerja2 kebaikan dengan mengharapkan pahala, syurga, bidadari dll tetapi org yg cerdik akan mengharapkan cinta kepada ALLAH SWT. Apabila Allah SWT sayangkan kita Insya Allah, semuanya yg dikehendaki oleh orang yang kurang cerdik akan menjadi milik kita!!!

Imam Ahmad bin Sahl berkata:"Ketahulah musuh-musuhmu terbahagi kepada empat."
1. DUNIA-senjatanya ialah makhluk sdgkan penjaranya ialah UZLAH
2. SYAITAN-senjatanya ialah kenyang sdgkan penjaranya ialah lapar(puasa)
3. NAFSU-senjatanya ialah tidur sdgkan penjaranya ialah berjaga mlm(beribadah)
4. HAWA NAFSU-senjatanya ialah bercakap sdgkan penjaranya ialah diam

Friday, March 12, 2010

Kalimah Yang Disukai ALLAH SWT

"Kalimah yang paling disukai oleh ALLAH ada empat: Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah dan Allahu Akbar, tidak mengapa yang mana saja engkau dahulukan"
(Riwayat Muslim)

SOLAT TASBIH

"Tasbihlah nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi"
(Surah al-A'laa 87:1)
HUKUM SOLAT TASBIH
  • Sebahagian Syafi'iyah : hukumnya SUNAT
  • Sebahagian Hanabilah: hukumnya HARUS
  • Imam al_Nawawi: Perlaksanaannya tidak disyariatkan tetapi beliau berpendapat ianya sunat yg baik

FADILAT TASBIH

Abu Hurairah r.a berkata: Nabi SAW bersabda:

"Dua kalimat yg ringan di lidah dan berat dalam timbangan amal dan sangat di suka oleh Tuhan al-Rahman iaitu: "Subahanallahi Wabihamdihi" dan "Subhanallahil Azimi Wabihamdihi"

NIAT SOLAT TASBIH

1. Lafaz niat pd waktu petang. Empat rakaat dua salam

"Sahaja aku solat Tasbih empat rakaat krn Allah swt"

2. Lafaz niat pada waktu malam. Dua rakaat satu salam sebanyak dua kali

"Sahaja aku solat sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah SWT"

CARA MENGERJAKAN SOLAT TASBIH

  • Setiap rakaat selepas baca surah al-Fatihah dan surah pilihan sambil berdiri membaca tasbih 15kali
  • Waktu rukuk-bertasbih 10kali
  • Waktu iktidal-bertasbih 10kali
  • Waktu sujud-bertasbih 10 kali
  • Waktu duduk antara dua sujud- bertasbih 10kali
  • Waktu sujud kedua-bertasbih 10kali
  • Waktu duduk istirahah-bertasbih 10kali

Jumlah keseluruhan adalah 75kali tasbih. Jika kita buat empat rakaat bermakna kita telah bertasbih sebanyak 300 kali

Hadis 4

Hadis 4 ini boleh dirujuk pada buku IRSYAD AL-QARI'(Jilid 1) dan dikarang oleh Ustaz Zul. Penerbit buku ini adalah JAKIM.

Daripada Abu Bakarah, ia berkata: Aku mendengar Rasululullah saw bersabda:"Apabila berlawan dua org Islam dengan pedang, maka pembunuh dan yg terbunuh adalah di dalam neraka. Aku bertanya: Hai Rasulullah! Ini pembunuh, maka apakah halnya yang terbunuh? Baginda menjawab: Bahawasanya ia(org yg terbunuh) adalah berazam utk membunuh saudaranya"

Faedah Hadis:
1. Haram bergaduh sesama Islam
2. Bunuh tanpa hak merupakan dosa yg besar. Orang yg boleh dibunuh dalam Islam adalah:
  • orang yg MURTAD
  • orang yg berkahwin BERZINA
  • orang yang membunuh(dijatuhkan hukum oleh pemerintah/hakim)
3. Orang Islam adalah bersaudara
4. Pembunuh tanpa hak adalah berdosa
5. Orang yg bergaduh dan terbunuh juga berdosa
6. Adanya neraka sebagai tempat seksaan

KEBUMIKANLAH KEWUJUDANMU DI BUMI

Salam semua

Pagi nie (13 Mac 2010) di Masjid Hishamudin BBST, Ustaz Zul tlh mengajar tajuk KEBUMIKANLAH KEWUJUDANMU DI BUMI. Kepada kengkawan yang tiada masa dan jauh dari sini, maka saya berikan sedikit initipati apa yg saya faham dalam kuliah Ustaz Zul tadi.
"Tanamlah kewujudanmu di bumi yang tidak terkenal kerana sesuatu yang tumbuh sendiri tanpa ditanam sudah tentu hasilnya tidak sempurna"
Huraian daripada hikmah di atas, sembunyikanlah kemasyuranmu kerana ia akan membawa kpd kebaikan(keihklasan). Jika keikhlasan wujud bersama-sama kemasyuran berkemungkinan ianya tidak sempurna. Bisyr al-Hafi berkata: "Padamkan namamu dan perbaiki makananmu"
Padamkan namamu: ianya bermaksud kita tidak digalakkan mencari kemasyuran kerana kadang-kadang kemasyuran itu membawa kecelakaan seperti terpenjara di dalam sangkar emas.
Perbaiki makananmu: ianya bermaksud kita perlu mencari makanan yang halal dan sumber pendapatan kita juga halal. Sahabat nabi pernah bertanya pada rasulullah saw berkenaan bagaimana utk mendptkan doa yg mustajab. Rasulullah saw menjawab, PERELOKAN MAKANANMU(HALAL).
Pujangga arab berkata:
"Hiduplah berkeadaan biasa antara manusia dan redhalah, Yg demikian itu lebih selamat di dunia dan juga akhirat. Siapa yg tamakkan urusan manusia tidak akan selamat, Dan dia akan berserah ikut haluan org lain"
Ingatlah bahawa matlamat utama ibadat yang kita lakukan bukanlah pada perlaksanaannya tetapi adalah pada penerimaan ALLAH swt terhadap ibadat yang kita lakukan. Maka lakukanlah ibadat kita dengan penuh ikhlas dan jauhkan dari sifat takabbur dan riak.
Itulah serba sedikit yang telah dikupas oleh Ustaz Zul dlm bukunya SYARAH AL-HIKAM(Jilid 1). Bg kengkawan yg tinggal berdekatan dgn BBST, kelas ustaz Zul diadakan pada setiap hari sabtu jam 8am - 10am di Masjid Hishammudin BBST.

Sunday, March 7, 2010

HADIS (Riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW, ALLAH SWT berfirman:
"Maka apabila Aku kasih kepadanya, Aku menjadi pendengaran, penglihatan dan tangan yang menguatkan baginya. Jika dia minta sesuatu kepada-Ku nescaya Aku tunaikannya."
(Riwayat Bukhari dalam a-Jami' al-Sahih)

Sunday, February 28, 2010

HADIS (Rahmat Allah)

"Seseorang tidak akan dimasukkan ke syurga dengan sebab amalannya".
Sahabat bertanya: "Walaupun kamu, ya Rasulullah?"
Jawab Rasulullah SAW: "Walaupun saya, melainkan dengan limpahan rahmat ALLAH SWT kepadaku"
(Riwayat al-Bukhari)

AMALAN-AMALAN itu MERUPAKAN GAMBARAN

Amal ibadat terbahagi kepada 2: Zahir & Batin
Contoh ibadat SOLAT- Ibadat yg dikatakan zahir adalah jasad kita yang sedang solat di masjid manakala ibadat batin adalah fikiran kita ketika sedang solat. Ibadat batin yang sukar dikawal kerana kita sering fikirkan perkara-perkara lain ketika solat.

Amal yang Ikhlas dibuat hanya kerana 1 tidak 2 dan tidak 3. Setiap amal yang dibuat dengan ikhlas hanya kerana ALLAH sahaja dan bukannya kerana makhluk.

Kesan amalan yang ikhlas: lazat ketika beribadat
Tanda amalan yang ikhlas: apabila melakukan sesuatu amalan atau ibadat, dia akan lupa tentang amalan yang telah dibuat dan tidak diungkit-ungkit

ALLAH telah memerintahkan kita agar memelihara sifat ikhlas dalam melakukan amalan:

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah ALLAH dengan
memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama
(Surah al-Baiyyinah:5)
---------------------------------------------
RIAK: terdapat 3 cara untuk riak
1. Riak dengan MATA- kita membiarkan orang ramai melihat kita ketika kita melakukan amalan atau ibadat. Bagaimana kita nak membezakan orang tersebut betul-betul ikhlas dalam ibadat kerana ALLAH Ada juga manusia yang ikhlas melakukan ibadat di hadapan orang ramai sebagai contoh solat di masjid. Jika orang yang ikhlas, dia tidak kisah dengan apa yang nak dikata oleh orang lain. Apa yang penting orang yang ikhlas tadi akan terus melakukan ibadat walaupun tiada orang di masjid disebabkan oleh kemanisan ibadat yang dilakukannya TETAPI orang yang berpura-pura ikhlas pula hanya melakukan ibadat ketika orang ada sahaja. Jika orang tiada maka ibadat pun entah ke mana.
2. Riak dengan TELINGA- kita ingin mendengar dengan telinga kita iaitu orang ramai menceritakan tentang kehebatan kita.
3. Riak dengan HATI- ianya melibatkan fikiran kita sehingga orang kagum dengan kebijaksanaan kita dan akhirnya kita akan rasa didalam hati kita "mengapa orang lain tak bijak seperti aku"
---------------------------------------------
Amalan tidak diterima ALLAH:
1. Amalan kita ikhlas tetapi tidak betul - Solat dengan ikhlas tetapi kiblat ke barat
2. Amalan kita betul tapi tidak ikhlas
Amalan yang diterima ALLAH:
Amalan yang ikhlas kerana ALLAH SWT dan betul dengan mengikut sunah Rasulullah SAW
Supaya Allah menguji kamu semua untuk memastikan siapa
di kalangan kamu yang amalannya lebih baik
(Surah al-Mulk:2)

Saturday, February 27, 2010

KITAB: SYARAH AL-HIKAM

Tajuk: Syarah Al-Hikam (Jilid 1)
Penerbit: Telaga Biru
Terjemahan & Syarahan: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
----------------------------------------------------------

Penulis Asal Kitab Al-Hikam: Penulis asal kitab ini adalah al-Imam Ahmad Abul Fadhal dan beliau adalah murid kepada al-Imam Abul Abbas al-Marsy. Selain drp itu, beliau juga menganut ajaran tasawuf al-Imam Abul Hasan al-Syazily.

Al-Hikam: Tiap-tiap kalimah yang terkandung dalamnya ilmu yang bermanfaat seperti ilmu Fiqah, Tauhid dan Tasawuf

Tasawuf: Ilmu yang mengupas bagaimana mensucikan diri daripada sifat tercela dan dalam pada masa yang sama menjaga ibadah serta semua amal perbuatan.

Tauhid: Ianya berhubung rapat dengan akidah Islamiah untuk mengenalkan hamba dengan pencipta-Nya pada kadar yang lebih dekat