Sunday, May 16, 2010

Tiada berkehendak oleh cita-cita yang tinggi

“Apabila cita-cita tinggi orang yang menuju ke hadrat Allah ingin berhenti ketika terbuka baginya sebahagian yang ghaib, ia segera diperingatkan oleh suara hakikat bahawa itu bukan tujuan dan teruskanlah berjalan ke hadapan. Demikian pula tiada kelihatan baginya keindahan alam melainkan ia diperingatkan oleh hakikatnya bahawa kami semata-mata sebagai ujian, maka janganlah tertipu hingga kamu menjadi kafir.”

Orang yang inginkan agama, orang yang inginkan Islam dan orang yang inginkan masjid akan melakukan perkara-perkara yang mendekatkan dirinya dengan Allah seperti berzikir, solat, dengar kuliah agama dan mengunjungi masjid. Minggu pertama sangat bersemangat, minggu kedua masih bersemangat dan masuk minggu yang ke empat juga masih bersemangat melakukan amalan sehinggalah pada satu hari Allah memberi nikmat kepadanya sebagai contoh pintu rezekinya dibuka dengan luas menjadikan amalannya menjadi kurang dan semakin berkurang. Ianya tidak betul kerana kita perlu beramal sehingga kita mati dan bukannya kita beramal sampai pintu nikmat dibuka!

Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kamu kufur
(Surah al-Baqarah: 102)

Jangan kita sekali-kali terpedaya dengan prestasi ibadah atau amalan kita dan berasa cukup dan telah sampai pada matlamat sedangkan amalan kita perlu diteruskan sehingga kita mati. Ini kerana semua nikmat yang diberikanNya adalah cubaan kepada kita.

Terdapat dua jenis golongan manusia apabila kita beribadah bersungguh-sungguh:
Manusia ini semakin miskin dan papa
Jika kita beribadah bersungguh-sungguh tetapi rezeki kita semakin sempit dan terus sempit. Sebenarnya itu adalah jenis dugaan yang ditimpa pada kita tetapi selalunya Allah akan memberikan kekayaan pada anaknya atau cucunya. Ini adalah disebabkan anak tadi diberikan rezeki yang HALAL. Berapa ramai kita lihat orang miskin yang mempunyai anak ramai tetapi kesemuanya berjaya sehingga belajar ke peringkat universiti. Otak manusia adalah sehala sahaja tetapi jika diberi duit yang banyak, otak manusia mula bercabang dan banyak perkara yang ingin dibuat.

Manusia ini semakin kaya dan doanya dimakbulkan
Jika kita beribadah bersungguh-sungguh dan rezeki pula makin bertambah maka kita jangan terpedaya dengan rezeki yang diberikan. Kita perlu teruskan amalan yang dilakukan malah dengan rezeki yang diberikan kita perlu banyak bersedekah dan berzakat.

Friday, May 14, 2010

Jangan kamu MEMINTA ALLAH SWT mengeluarkan kamu

"Janganlah kamu minta Allah mengeluarkan kamu daripada sesuatu keadaan agar Dia mempergunakan kamu dalam keadaan sebaliknya, kalau Allah hendakkan kamu sudah tentu Dia mempergunakanmu tanpa dikeluarkan daripada keadaan itu"

Orang yang mengejar dunia sentiasa berdoa untuk menjadi kaya sedangkan pada waktu susah dia adalah seorang yang kaki masjid dan selalu solat berjamaah di masjid tetapi apabila dia telah menjadi kaya, langsung tak nampak muka kat masjid. Bukan lagi jadi kaki masjid tetapi dah jadi kaki wayang! Manusia yang HEBAT adalah orang itu tidak menjadikan DUNIA sebagai penghalang untuk ke akhirat.

Untuk pengetahuan, harta bukanlah membuatkan seseorang itu susah dan senang tetapi HATI yang tenang yang menjadi faktornya. Mengapa masih ramai orang kaya masih susah hati dan risau sedangkan harta kekayaan yang dia ada sudah terlebih cukup! Bagaimana untuk menjadikan HATI kita tenang? Iaitu dengan mendapat Hidayah Allah.

Orang yang mengejar akhirat sentiasa berdoa untuk menjadi orang alim. Sebenarnya kita tak perlu menjadi sesiapa atau dengan kata lain kita tak perlu jadi idola kita tetapi jadi diri sendiri kerana Islam hargai watak masing-masing. Apa yang penting sebenarnya adalah menjadi sebagai ISLAM bukan jadi orang lain. Jika kita lihat sahabat rasulullah saw pun amat berbeza: Abu Bakar, Umar, Uthman & Ali.....kesemua sahabat ini mempunyai watak yang berbeza. Apa yang penting sekarang adalah kita perlu tumpukan apa yang kita buat sekarang sehingga kita berjaya dalam bidang masing-masing.
Contoh:
Jika kita seorang penyelidik kita perlu tumpu dengan bidang kita sehingga kita menjadi pakar dan menjadi rujukan pada penyelidik-penyelidik bukan Islam seluruh dunia. Sama juga kalau kita menjadi petani yang menanam ubi kayu, kita perlu bekerja bersungguh2 sehingga menjadi seorang yang pakar dalam bidang kita. Kalau orang cerita pasal ubi kayu, kita boleh terangkan dari A to Z....... seterusnya kita akan jadi rujukan pada petani yang lain.

Saturday, May 1, 2010

Menunda Amal Kebaikan Kerana Menantikan Kesempatan

"Kamu menunda amal kebaikan kerana menantikan kesempatan yang lebih baik merupakan tanda kebodohan yang mempengaruhi jiwa"

Kebodohan manusia yang ketara adalah cuba menunggu peluang tetapi bukannya cuba mencipta peluang. Ini yang menyebabkan manusia akan membazir masanya dan juga amalannya. Ibn 'Abbad berkata, kebodohan manusia terbahagi kepada:

1. Melebihkan dunia daripada akhirat
Melebihkan dunia daripada akhirat merupakan bukan sifat orang Islam yang berakal kerana Allah telah berfirman:
"Tetapi kamu(orang kafir) memilih kehidupan duniawi.
Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal"
(Surah al-'Ala: 16-17)

Adakah anda tahu bahawa kehidupan dunia adalah sementara sahaja manakala kehidupan di akhirat akan kekal selama-lamanya. Maka kenapa kita perlu melebihkan kehidupan dunia yang sementara ini sehingga sibuk dan lupa kepada kehidupan kita di akhirat kelak sedangkan kehidupan di akhirat adalah jauh lebih baik dari dunia. Maka, bagaimana seorang yang berakal boleh memilih kehidupan yang sementara?

Ibn Mas'ud r.a bertanya pada sahabat:"Adakah kamu tahu kenapa kita melebihkan dunia drp akhirat?" Sahabat menjawab:"Tidak." Ibn Mas'ud r.a berkata:"Dunia dipertemukan terus kepada kita dengan makanan, wanita, harta, minuman dan juga kegembiraan sedangkan akhirat adalah ghaib dan tiada pada kita sekarang. Oleh yang demikian, sebab itu kita suka menangguh dan meninggalkan akhirat"

2.Menangguhkan amalan kepada masa yang lain
Perkara yang baik tidak perlu ditangguh kerana takut maut akan menjemput dahulu. Pernah Rasulullah s.a.w berkhutbah dan datang seorang sahabat ke dalam masjid. Sahabat tadi terus duduk dan Rasulullah s.a.w bertanya adakah beliau telah solat sunat tahiyatul masjid. Sahabat tadi berkata tidak, maka Rasulullah s.a.w terus menyuruh sahabat tadi bangun dan segerakan solat sunat.

3. Membazirkan masa
Jika kita melakukan amalan mengikut kesukaan kita sahaja adalah satu amalan yang membazirkan masa sedangkan kita perlu bersegera dalam melakukan amalan yang dituntut oleh Allah dan mengambil peluang sebelum MAUT datang menjemput.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang yang cerdik adalah yang sentiasa muhasabah dirinya dan membuat bekalan amalan untuk selepas mati, dan orang yang bodoh ialah yang mengikut hawa nafsu dirinya dan bercita-cita kepada Allah dengan pelbagai cita-cita tanpa usaha."